BBQ kambing Mei 2011...

BBQ kambing Mei 2011...

Tuesday, August 31, 2010

Keimanan belum sempurna jika sakiti jiran

Keimanan belum sempurna jika sakiti jiran
Oleh Mohd Shukri Hanapi

KEMANTAPAN dan keutuhan masyarakat bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Dengan adanya adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan seseorang manusia itu dihormati serta disegani masyarakat.

Sudah menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, demi kepentingan hidup yang boleh menjamin ketenteraman dan kebahagiaan, Islam menggariskan beberapa peraturan hidup bermasyarakat.

Salah satu daripadanya, menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga. Jiran adalah orang yang tinggal dalam satu bangunan (blok), mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dan yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah daripada rumah kita.

Islam menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah cara hidup Islam. Umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dengan jiran demi mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Ia secara tidak langsung memberi kemudahan menyelesaikan masalah yang timbul.

Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua
ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Perkara itu juga dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan mewarisinya (pusaka).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran pada masa kini menghadapi sedikit kesulitan kerana hakikat kehidupan dikelilingi manusia yang mempunyai pelbagai pandangan, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa, budaya dan politik berbeza.

Walau bagaimanapun, perkara itu dapat diatasi jika masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.

Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan. Usaha
memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan.

Betapa pentingnya hubungan kejiranan itu apabila dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika tidak menghormati dan kasih jirannya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada
Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.” (Hadis riwayat Muslim)

Keimanan seseorang tidak sempurna jika dia menyakiti jirannya, sama ada melalui celaan, memfitnah dan buruk sangka.

Mencegah daripada menyakiti dan melakukan penganiayaan terhadap jiran adalah antara hak jiran yang perlu dijaga.

Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, perlu melihat kepada kelebihan hidup berjiran. Antaranya, saling bantu-membantu ketika berlaku kecemasan atau di timpa musibah.

Sebagaimana dijelaskan, jiran adalah orang yang tinggal paling hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Kerana itu, jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian.

Pertolongan seperti inilah yang diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya hubungan yang kuat antara jiran dapat melahirkan suasana seperti ini. Melindungi jiran daripada kesusahan adalah budi pekerti tinggi pada pandangan Islam.

Selain itu, hidup berjiran dapat mempertingkatkan pengetahuan dan kenalan. Jiran yang tinggal berhampiran mempunyai latar belakang berbeza seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya dan
adat resam.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Mempunyai ramai kenalan rapat, terutama dalam konteks hidup berjiran banyak memberi manfaat, antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah; mendapat nasihat kesihatan berjirankan doktor; membaiki kerosakan kenderaan jika berjirankan mekanik.

Berikutnya, jiran sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah dan samseng. Ia dapat dilakukan melalui pembentukan rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan kawasan atau kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti ini sangat digalakkan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)

Jelaslah kepada kita penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran serta kesejahteraan
negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana jika kita belum menjadi jiran yang baik terlebih dulu. Walau sebesar mana sekalipun arus perubahan melanda masyarakat kita, semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan.

Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam dan
kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan mendapat keberkatan daripada Allah adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan serta kebinasaan.KULIMI:
good article sothye
i also wrote an article on the topic of Ihsan (Kindness) in Al-Quran where quran also mentioned on the the need of someone to be kind to their neighbor. based on surah al-nisa: 36, Allah SWT says:

Serve Allah, and join not any partners with Him; and do good- to parents, kinsfolk, orphans, those in need, neighbours who are near, neighbours who are strangers, the companion by your side, the wayfarer (ye meet), and what your right hands possess: For Allah loveth not the arrogant, the vainglorious

Islam has enjoined fair treatment, affection and courtesy to one’s neighbour. Islam, therefore, requires all neighbours to be loving and helpful and to share each other’s sorrows and happiness. It enjoins them to establish social relations in which one can depend upon the other and regard his life, honour and property safe among his neighbours. A society in which two people, separated only by a wall, remain unacquainted with one another for years, and in which those living in the same area of a town have no interest or trust in one another, can never be called Islamic.

Ihsan towards neihbor in the above verse includes speaking them in a kind manner, dealing with them well, addressing them well after commanding them with good and forbidding them from evil. It also includes providing guidance to those who have strayed, teaching those who are ignorant, being fair with them, recognizing their rights, preventing harm from them and not doing anything that would harm them or constitute a crime against them.
wallahuálam
zaini:
kawan tambah sikit ya..

PENGERTIAN KEJIRANAN

Kejiranan adalah semangat ingin untuk hidup bersama, berbaik-baik, saling hormat menghormati dan bantu membantu sesama jiran tetangga ke arah kesejahteraan masyarakat dan negara melalui persatuan-persatuan sosial setempat seperti Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan lain-lain.


CIRI-CIRI KEJIRANAN
1. Seseorang itu merasa bangga dan sayang kepada kawasan/tempat bermaustatin.
2. Di antara jiran tetangga berkenal-kenalan dan kerap bertemu akan terjalin sikap tolong menolong.
3. Penduduk amnya menganggap mereka sebagai satu masyarakat/komuniti.
4. Penduduk merasa bertanggungjawab terhadap keharmonian dan keamanan dalam kawasan sejiran mereka
5. Penduduk merasa wajib memelihara kemudahan awam, kebersihan dan keindahan kawasan sejiran.
6. Penduduk sejiran bermuafakat untuk menjalankan satu-satu aktiviti bagi faedah bersama.
7. Wujud sebuah Badan/Jawatankuasa mewakili penduduk untuk menjaga hal ehwal kebajikan.
8.

Wujud sebuah badan bertindak untuk menyelesaikan masalah-masalah sejiran.

NILAI NILAI MURNI
KERUKUNAN BERBUDI MULIA
BERSABAR BERTIMBANG RASA
BERMORAL BANTU MEMBANTU
BERAMANAH BERTANGGUNGJAWAB
BERSIMPATI FAHAM MEMAHAMI
BERKORBAN BERGAUL MESRA
BERBUDAYA TOLONG MENOLONG
BERSEPAKAT BERTOLAK ANSUR
BERHARMONI BERSOPAN SANTUN
BERSATU HATI SAYANG MENYAYANGI
BERSATUPADU HORMAT MENGHORMATI
BERGOTONG ROYONG KUNJUNG MENGUNJUNGI
BERTOLERANSI PERCAYA MEMPERCAYAI
BERTEGUR SAPA BERSEMANGAT KEKITAAN
BERMUAFAKAT BERHEMAH DALAM PERGAULAN
BEKERJA SAMA BERSYUKUR
BERDISIPLIN BERMURAH HATI
BERBAIK SANGKA

HAK-HAK JIRAN

Mengikut perspektif Islam:
1. Jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dan keagamaan kecuali hak jiran
2. Jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran yang seagama dengan kita iaitu hak dari segi keagamaan dan kejiranan
3. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah hak jiran dari segi keagamaan, hak jiran melalui hubungan kekeluargaan dan hak sebagai jiran.


SIAPAKAH JIRAN ANDA

Mereka meliputi keluarga sendiri; mereka yang tinggal berhampiran dengan rumah kita dan mereka yang tinggal di kawasan sejiran serta kenalan anda.


oleh Abdul Mokhtar Abdul Azis.

No comments:

Post a Comment