Datuk Seri Najib Razak mempertahankan cadangan pembinaan menara 100 tingkat bernilai RM5 bilion oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan menyifatkan ia bukan pembaziran tetapi bertujuan menjana ekonomi serta mewujudkan satu mercu tanda Malaysia yang maju dan moden.
Perdana Menteri berkata pembinaan menara itu akan turut membawa manfaat kepada pelbagai sektor.
“Banyak kerja-kerja kontrak yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi, dan kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan menempatkan peniaga bumiputera dan bukan bumiputera, menjadi pusat tarikan dan beri keuntungan.
“Projek ini bukan pembaziran tapi menguntungkan, yang dirancang (oleh) PNB.”
Najib berkata beliau tidak mengarahkan PNB untuk mewujudkan projek itu.
“Saya tidak arahkan PNB. PNB yang mencadangkan (perkara) ini, sesuatu yang sangat diingini oleh pengurusan atau lembaga (pengarah) PNB,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanatnya kepada anggota perwakilan di majlis tertutup Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.
Semasa membentangkan Bajet 2011 Jumaat lepas, Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan satu lagi mercu tanda akan dibangunkan iaitu menara setinggi 100 tingkat yang dinamakan Warisan Merdeka dan dijadual siap pada 2020.
Najib berkata dalam sejarah negara ini, Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik hebat oleh pembangkang apabila membuat keputusan untuk membina jambatan Pulau Pinang, namun akhirnya sekarang rakyat Pulau Pinang meminta jambatan yang kedua.
Dr Mahathir juga dipertikaikan semasa membina Menara Berkembar Petronas, jadi rasional kerajaan bagi pembinaan menara warisan adalah sama, katanya.
Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara. – Bernama
No comments:
Post a Comment