Kompleks Kubah Batu di Baitul Maqdis, Palestin yang mengandungi artifak sejarah membabitkan sejarah kerasulan Nabi Muhamad s.a.w.
|
Binaan unik yang keindahannya begitu terserlah dek kilauan keemasan kubahnya yang besar itu, sebenarnya lebih tepat dikenali sebagai Kubah Batu atau dalam bahasa Arabnya, Qubbat As Sakhrah dan dalam bahasa Inggeris pula Dome Of the Rock.
Bangunan ini menyimpan banyak sejarah dan peristiwa keagamaan yang sangat penting serta menjadi lambang kesucian Islam itu sendiri. Sebab itu ia merupakan antara tempat yang terlalu ingin dikunjungi dan dilihat sendiri oleh seluruh umat Islam.
Kubah Batu ini bukanlah sebuah masjid sebagaimana yang difahami oleh masyarakat dunia. Ini kerana Masjid Al Aqsa yang kedudukannya kini begitu terancam dek kerja-kerja keji puak Israel sebenarnya terletak tidak jauh dari bangunan ini.
Sebaliknya, bangunan ini merupakan sebuah kompleks yang dalamnya terdapat sebuah bongkah batu besar yang dikatakan tempat atau lokasi Nabi Muhammad SAW berdiri sebelum baginda diangkat ke langit dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Kompleks ini terletak di Baitul Maqdis, iaitu di kawasan Al-Haram asy-Syarif (kawasan Suci) yang juga sering disalah ertikan sebagai Masjid Omar yang merupakan masjid sempena sahabat besar Rasulullah itu mendirikan solat sebaik tiba di bandar suci itu.
Bangunan kubah ini dibina antara tahun 687 hingga 691 Masihi oleh Khalifah dari Dinasti Ummaiyyah iaitu Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang kemudiannya telah melalui pelbagai zaman pemilikan yang sering bertukar tangan, iaitu zaman Islam, zaman Perang Salib, zaman penjajahan British dan kini terkepung dalam penjajahan oleh rejim yang paling ganas dan kejam di dunia, Israel.
Semasa era Perang Salib, bangunan Kubah Batu ini pernah bertukar menjadi istana kepada seorang panglima tentera Salib, dikenali sebagai Agustine. Masjid Al Aqsa yang turut dirampas bertukar menjadi istana kepada Raja Baldwin I pada tahun 1104M.
Bangunan ini kemudian sering mendapat sentuhan dan dibina semula oleh kebanyakan pemerintah Islam. Ia termasuk akibat kerosakan akibat kejadian gempa bumi seperti yang berlaku pada Julai 1927.
Bangunan yang berbentuk segienam horizontal dengan kubah besar keemasan di tengah-tengah itu turut mempunyai kepentingan berdasarkan kepercayaan agama lain.
Bagi penganut dan kaum Yahudi, mereka menganggap bongkah batu yang menjadi lantai dan tempat berdiri Nabi Muhammad itu sebagai batu besar yang digunakan oleh Nabi Ibrahim untuk menyembelih putera baginda, Nabi Ismail.
Malah mereka juga percaya bahawa bangunan ini turut menjadi sebahagian dari tapak Kuil Nabi Sulaiman.
Kini bangunan itu turut sama seperti Masjid Al Aqsa – terancam – apabila pihak Yahudi giat menggali terowong-terowong bawah tanah yang kononnya boleh menemukan mereka dengan peninggalan Kuil itu.
Ini kerana bangunan ini dikatakan terletak betul-betul di tengah-tengah tapak kuil yang kononnya menyimpan pelbagai khazanah dan harta yang tidak ternilai. Malah menurut sesetengah pendapat, bangunan Kubah Batu berdiri berdekatan dengan altar untuk tujuan korban dalam Kuil Yahudi itu.
Walau apa pun kisah suka duka di sebalik bangunan Kubah Batu ini termasuk dikatakan bakal berlakunya tempat tiupan sangkakala yang pertama bagi menandakan atau amaran akan berlakunya Hari Kiamat, yang jelas ramai terpegun apabila berada di situ.
Terpegun kerana terlalu mengagumi keindahan seni bina bangunan Kubah Batu ini.
Bercakap mengenai kubah emas yang menjadi tumpuan, pada asalnya ia diperbuat daripada emas asli. Kemudian ia ditukar kepada tembaga diikuti logam aluminium atau aloi.
Tetapi pada tahun 1994 ia kembali disadurkan dengan daun-daun emas iaitu hasil sumbangan peribadi almarhum Raja Hussein Jordan.
Di puncak kubah terdapat simbol bulan yang jika dilihat dari arah selatan bangunan ini merupakan penunjuk arah kiblat umat Islam iaitu Mekah.
Keindahan semakin menyerlah apabila sepanjang lilitan kubah dihiasi jubin berukir dengan corak geometri serta elemen flora dan fauna dalam gabungan warna yang sangat harmoni seperti kelabu, biru, hijau dan kuning.
Namun sebagai umat Islam kita sangat mengagumi keindahan kaligrafi atau khat ayat-ayat al Quran yang melingkungi dari sudut ke sudut bahagian atas segi enam bangunan ini.
Antara ayat yang dicatatkan di situ termasuklah daripada surah Al Israk yang menceritakan mengenai perjalanan Nabi Muhammad dari Mekah ke Baitul Maqdis dengan menaiki kenderaan burung Buraq dan kemudiannya diangkat untuk menemui Allah di Sidratul Muntaha.
Seluruh corak yang menghiasi dinding dan tembok luar bangunan ini tidak ubah bagai sebuah lakaran kanvas yang dilukis indah.
Gabungan corak-corak geometri yang sangat pintar dalam pemilihan warna-warna yang cukup harmoni menjadikan seluruh kompleks ini menjanjikan kepuasan seni yang tidak terhingga.
Malangkah masuk ke dalamnya terpapar keindahan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Tumpuan tidak sahaja terhadap bongkah batu yang menyaksikan kejadian agung Mikraj Nabi Muhamad untuk naik sehingga ke langit ketujuh, tetapi juga terdapat juga koleksi beberapa helai janggut Rasulullah yang terletak di sisi batu bongkah tersebut.
Kehadiran pelawat yang disambut dengan kicauan burung-burung kecil mencipta suasana yang cukup hening namun mengasyikkan.
Sinaran lampu limpah di tiap sudut menerangi bongkah batu tersebut sudah cukup membangkitkan perasaan untuk mengagungkan kekuasaan Allah yang mengaturkan kejadian-kejadian yang sangat luar biasa.
Tetapi kenapa tidak kita bebaskan bumi Palestin ini terlebih dahulu daripda kekejaman Israel?
Barulah Kompleks Kubah Batu ini lebih mudah dikunjungi dan kita bebas untuk berada di situ
No comments:
Post a Comment