SKVE Mendorong Lebih Pembangunan Di Lembah Klang
Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), yang dijangka siap sepenuhnya pada 2012,
akan melengkapkan integrasi rangkaian lebuh raya Lembah Klang.
Ia akan menjadi lebuh raya utama menyambungkan
Lebuhraya Utara Selatan kepada Putrajaya, Cyberjaya, Telok Panglima Garang, Pulau Carey dan ke Westport di Pulau Indah.
Pembinaan Fasa 1B SKVE telah diselesaikan dan akan dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerjaraya
Datuk Shaziman Abu Mansor di persimpangan Saujana Putra Selasa depan.
SKVE sepanjang 52km itu akan memberikan penyambungan terus daripada selatan ke
Pelabuhan Kelang dan ia dijangka mendorong kawasan pertumbuhan baharu bagi sektor
perumahan dan industri di kawasan selatan Lembah Klang, kata Ketua Pegawai Eksekutif SKVE Holdings Sdn Bhd Teoh Ah Guan.
Aliran trafik antara Kelang dan Kajang akan ditumpukan kepada laluan yang lebih pendek,
dan oleh itu, mengurangkan kesesakan.
"Lama kelamaan, penyambungan antara Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA)
dan Westport akan mendorong kawasan itu menjadi segi tiga emas negara," katanya.
"Pembukaan bahagian yang telah siap, menunjukkan usaha pemegang konsesi dan kerajaan untuk
memberikan lebuhraya yang efisyen kepada orangramai serta mengurangkan kesesakan trafik di
ibukota," katanya sambil menambah jalan baharu itu akan mendorong pembagunan ekonomi dan
sosial di bandar-bandar disekelilingnya.
Lebuh raya itu akan dibuka untuk pengguna dari persimpangan UNITEN dekat Universiti Tenaga
Nasional di Bangi ke peringkat akhir Fasa 1B di Persimpangan Saujana Putra sementara
pembinaannya beralih ke peringkat seterusnya.
"Sempena pembukaan sebahagian daripada lebuh raya itu, pengguna akan menikmati tol percuma
selama satu bulan," katanya kepada Bernama.
Lebuh raya sepenuhnya bermula di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi dan berakhir
di kawasan cadangan Pulau Indah Ring Road yang menyambungkannya dengan Westport di Klang.
Menjelang 2012, SKVE akan memberi nafas baharu kepada Pulau Indah, sebuah pulau di perairan
Selangor yang dahulunya dikenali sebagai Pulau Lumut.
Westport, pelabuhan terbesar di rantau ini, terletak di Pulau Indah yang juga dikenali
dengan suasana kampung tradisional persisir pantainya.
Fasa pertama projek ini diberikan kepada Gadek-Perspec untuk pembinaan Fasa 1A pada
asas "Siap Guna, Reka Bentuk dan Bina".
Ia telah disiapkan pada tahun 2000.
Pada 29 Ogos 2006, SKVE Holdings dianugerahkan hak konsesi oleh kerajaan untuk
penswastaan SKVE dengan sokongan kewangan dari Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Bank Pembangunan Islam.
Teoh berkata perancangan dan pertimbangan yang teliti telah dibuat dalam
pelbagai aspek pembinaan lebuh raya itu, termasuk perlindungan
alam sekitar seperti mengekalkan pemandangan dan tasik-tasik di sepanjang jalan.
"Kami berjaya mengatasi semua cabaran untuk menyiapkan Fasa 1B termasuk
membeli tanah daripada Orang Asli dan menangani masalah keadaan geografi," katanya.
SKVE, yang melalui Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE)
dan cadangan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat, mempunyai empat fasa utama di mana dua fasa pertamanya, Fasa 1A (8km) dan Fasa 1B (12.6 km) telah siap dibina.
Dua fasa lagi, Fasa 2 (12.3 km) dan Fasa 3 (18.9 km)
dijangka disiapkan masing-masing pada 2011 dan 2012.
Enam plaza tol akan dibina sepanjang lebuh raya itu.
Dengan sembilan persimpangan di sepanjang lebuh raya itu,
iaitu Uniten, Putra, Wetlands, SKVE, SKVE Saujana Putra, Lebuh raya Pantai Barat(WCE),
Tanjung Dua Belas, Teluk Panglima Garang dan Pulau Indah, pengguna boleh menikmati kemudahan penyambungan yang berkesan kos.
Pengguna juga boleh menggunakan kad transit kitar semula yang
diperkenalkan buat kali pertama di Lembah Klang.
Sempena pelancaran Fasa 1B, kad Touch N Go edisi khas bernilai RM20 dijual kepada pengguna.
Kadar tol belum ditentukan, tetapi SKVE Holdings telah menyakinkan pengguna
bahawa ia adalah pada kadar yang boleh diterima oleh masyarakat.
Lebuh raya itu juga dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan dan sistem
permantauan trafik canggih termasuk telefon kecemasan,
CCTV dan pesanan elektronik yang disambung terus kepada Pusat Kawalan (CC).
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment