AMALAN SEDEKAH yang kerap kali dipandang mudah oleh segelintir daripada masyarakat kita hari ini. Yang mana selalu bersedekah tu baguslah, amal-amalkan selalu, tapi awas jangan sedekah kalau tak ikhlas ye. Sebelum tu, korang baca dulu cerita di bawah sebagai sedikit introduction untuk entri kali ini.
Diceritakan dalam sebuah hadis yang berbunyi :
Tatkala Allah Ta ' ala menciptakan bumi, maka bumipun bergetar. Lalu Allah menciptakan gunung dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata bumipun terdiam.
Para malaikat kehairanan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung ?"
Allah menjawab, " Ada , iaitu besi" (kita mafhum bahawa gunung batu pun boleh menjadi rata ketika dikorek dan diratakan oleh bulldozer atau sejenisnya yang dibuat daripada besi),
Para malaikat bertanya lagi "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi ?"
Allah yang Maha Suci menjawab, " Ada , iaitu api" (besi walau sekeras manapun boleh menjadi cair dan hancur setelah dibakar api),
Para malaikat kembali bertanya "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api ?"
Allah yang Maha Agung menjawab, " Ada , iaitu air" (api membara sedasyat manapun nescaya akan padam jika disiram air),
Para malaikatpun bertanya kembali "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada air ?"
Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab, " Ada , iaitu angin" (air di samudera yang luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tiada lain kerana kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat),
Akhirnya para malaikatpun bertanya lagi "Ya Allah, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dahsyat dari itu semua ?"
Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Dasyat kehebatannya menjawab, " Ada , iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya".
Ini bermakna apa yang paling hebat, paling kuat dan paling dasyat sebenarnya adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih , tulus dan ikhlas tanpa ada unsur menunjuk-nunjuk ataupun supaya diketahui orang lain .
Demikian juga disebutkan dalam firman Allah S.W.T :
“Tidakkah mereka tahu bahawa Allah menerima taubat dari hamba-Nya dan menerima sedekah..” ( At-Taubah : 104 )
“Allah S.W.T menghapuskan (berkat) riba dan menambah (berkat) sedekah..” ( Al-Baqarah : 276 )
Sadaqah atau sedekah adalah daripada perkataan arab yang bermaksud benar. Makna syara' "sedekah" pula adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Jadi apabila merujuk keimanan mahupun keyakinan janji kepada Allah S.W.T., sudah tentu di sana perlu kepada pembuktian iaitu menginfakkan harta di jalan Allah S.W.T. Baik pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, kerabat keluarga, maupun untuk kepentingan jihad fi sabilillah.(Wikipedia)
Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar-benar pengakuan imannya. Menurut terminologi syariat, pengertian sedekah sama dengan pengertian infaq itu sendiri iaitu mengeluarkan sebahagian daripada harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam.
Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas berbanding infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan aspek material, manakala sedekah merangkumi aspek material dan bukan material.
Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah bahawa, jika seseorang itu telah pun berzakat tetapi masih mempunyai harta yang berlebihan maka ini sangatlah digalakkan untuk berinfaq dan bersedekah.
Selain daripada sedekah wajib, umat Islam digalakkan juga memberi sedekah sunat sebagai tanda kesyukuran ke atas nikmat yang dikurniakan Allah terutamanya nikmat Islam. Sedekah umumnya terbahagi kepada dua jenis iaitu sedekah wajib (zakat) dan sedekah sunat. Ditekankan di sini ialah sedekah sunat dipandang ringan sesetengah pihak tetapi sebenarnya ia memberikan manfaat yang besar seperti dapat meringankan beban dan penderitaan si penerima, khususnya di kalangan orang fakir, miskin dan anak yatim.
Jika menurut penjelasan Imam Syafie Rahimahullah “Orang fakir ialah orang yang tidak berharta dan tidak ada mata pencarian (sumber rezeki), manakala orang miskin pula ialah orang yang ada harta (ala kadarnya) atau ada mata pencarian tetapi tidak mencukupi sara hidupnya”.
Baginda Rasulullah s.a.w menerangkan golongan yang dikatakan fakir miskin, seperti dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a, maksudnya:
“Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta-minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat satu atau dua suap makanan atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang men cukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.” (Hadis sahih, riwayat Imam Ahmad).
Ingatlah! Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Sekecil dan sedikit mana sedekah yang dihulurkan, ianya cukup bermakna kepada si penerima yang hidup dalam serba kekurangan malah sedekah yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman dan kegembiraan walaupun hanya untuk sementara.
“Sesungguhnya kami memberi makan kepadamu kerana Allah semata-mata. Kami tidak menghendaki sebarang balasan darimu atau ucapan terima kasih.”(al-Insaan : 8-9)
Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka dalam kesempitan. Nas daripada Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w jelas menganjurkan umat Islam menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya. Antaranya adalah:
Dapat melipatgandakan pahala.
"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya". ( Al-Baqarah : 261 )
Dalam suatu riwayat oleh segolongan ulama Hadis disebukan : “Pada malam diisrakkan, aku melihat di atas pintu syurga bertuliskan: Sedekah dilipatgandakan lapan belas kali seumpamanya dan memberi hutang dilipatgandakan lapan belas kali. Barangsiapa memudahkan orang yang kesulitan, Allah akan memudahkan di dunia dan di akhirat”
Hapuskan sikap sombong dan bangga diri.
Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya" ( Hadith Riwayat Tabrani )
Mengelak bala bencana.
Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah" ( Hadith Riwayat Al-Baihaqi )
Janganlah ditangguh-tangguh sedekah itu.
Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah s.a.w lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ? Nabi s.a.w menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu(Hadith Riwayat Al-Bukhari )
“Dan belanjakanlah ( dermakanlah ) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, ( kalau tidak ) maka ia ( pada saat itu ) akan merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh” ( Al-Munafiquun : 10 )
Tidak mengurangkan harta.
Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya." (Hadis Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)
Mati dalam keadaan diterima Allah.
Dalam suatu riwayat : “Sesungguhnya dengan sedekahlah menghindarkan tujuh puluh pintu (kemungkinan) mati dalam keadaaan tidak diterima Allah S.W.T.
Sedekahlah kepada semua
Seorang cendekiawan Muslim, Sheikh Ahmad Kutty, dipetik sebagai berkata: “Islam menggalakkan pemberian sedekah kepada semua manusia, tanpa mengira perbezaan agama, kaum, warna atau bahasa.”
Cuma, menurut fatwa yang pernah dikeluarkan hendaklah didahulukan bersedekah kepada saudara di ka langan orang Islam sebelum bersedekah kepada orang bukan Islam.
Oleh itu, marilah kita perbanyakkan sedekah kerana sedekah itu banyak manfaatnya di dunia dan di akhirat. Abu Hurairah r.a, berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:“Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga perkara :Sedekah yang berjalan terus (sedekah amal jariah), Ilmu yang berguna dan diamalkan dan anak yang soleh yang mendoakan baik baginya”. Janganlah kita tangguh-tangguhkan kemampuan untuk bersedekah itu walaupun ianya hanyalah sebiji kurma. Jika semua umat Islam hari ini dapat mengamalkan sedekah nescaya umat Islam serata dunia akan dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan tenteram. Tiada lagi fakir miskin tiada lagi orang miskin. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment