Salam semua.
Bersama ini saya sertakan informasi dan peringatan penting dari Masjid Jamek Fastabiqul Khairat, Jalan Bt 3 Lama. Shah Alam. agar kita dapat membaca dan mengambil manfaat daripadanya, sekurang-kurangnya dijadikan rujukan untuk muhasabah diri.
_______________________________________
ALIMNYA AKU...........
Cabaran dan ujian datang dalam bentuk yang pelbagai. Bagi yang beramal (kebajikan) ia datang dalam bentuk tersorok dan mengelirukan niat. Merasa keagungan diri adalah pemusnah amal baik yang telah diusahakan.
Nabi Muhammad.s.a.w. bersabda;
" Tiga pemusnah (amal) , kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan merasa agung dan hebat diri".
( Riwayat Al.Bazzar & At.Tabrani )
Ada yang terdetik di sudut hatinya.
" Aku hebat, akulah sentiasa solat berjamaah di masjid"
Pada hal dia lupa ada orang lain yang serupa denganya malah jauh lebih kyusuk solatnya dan hatinya tawadhu'.
Benar, sedarkah kita bahawa walaupun kita sentiasa ke masjid, namun kebiasaannya masih ada orang lain yang berjaya mendahului kita ke masjid atau ke surau itu. Mungkin sekali sekala kita yang terawal tetapi dalam banyak keadaan kita bukan orang yang terawal. Jika kita yang terawal sekali pun belum pasti yang paling berkualiti di sisi Allah.SWT.
Ada yang terdetik:
"Aku hebat kerana berani dan berjuang untuk Islam"
Sedangkan dia lupa bahawa terdapat ramai lagi yang berjuang lebih lama darinya, malah ada yang telah terkorban. mereka jauh lebih berani dari dirinya.
"DAHSYATNYA AKU, SIBUK BETUL.."
Lagi detikannya.... " Nampaknya sibuk betul aku dalam perjuangan dan dakwah...hebat, hampir setiap hari ada kuliah dan ceramah di sana sini"
Ada yang merasakan diri terlalu sibuk memberi manfaat dan berdakwah kepada orang lain sehingga mindanya terhalang dari merasakan ada insan lain yang jauh lebih sibuk dan berjasa darinya.
Sedarkah kita, sejenak terdetik rasa diri sibuk dalam dakwah, itulah detik pemusnahan diri dan amal kerana terlalu ghairah memuji diri, pada hal hakikat sebenarnya terdapat ramai lagi yang lebih sibuk daripadanya dalam melaksanakan amal kebajikan tersebut. Malah terdapat yang jauh lebih sibuk dari berceramah, iaitu mereka yang berjuang melalui penulisan kitab yang menggunakan masa 12 jam sehari, lalu tersebarlah ilmunya ke seantero dunia.
Lupa dirinya, terdapat ramai yang berjuang namun bukan sekadar memberi ceramah tetapi mereka sudah sampai ke tahap berusaha dan bekerja melaksanakan inti-inti ( merealisasikannya ) ceramah tersebut, sama ada dalam sebuah kerajaan negeri atau persekutuan. Sudah tentu manfaatnya lebih hebat dan lebih besar buat umat berbanding dengan sekadar berceramah atau menulis teori semata-mata.
Justeru, janganlah sumbangan kita hingga kesibukan berceramah, menulis, mengolah artikel, mesyuarat jamaah beberapa malam menjadi pemusnah amalan,sudahlah ianya sedikit malah perasaan sebegini akan menjadikannya semakin kurus kering di sisi Allah SWT. Inilah nasihat buat saya dan rakan-rakan pendakwah di luar sana
Rasulullah.s.a.w.mengajar kita dalam hal keagamaan supaya sentiasa mencari dan memikirkan amalan dan kehebatan mereka yang lebih dari kita, manakala dalam hal dunia segeralah melihat mereka yang kurang bernasib baik, dengan cara itu kita akan sentiasa mensyukuri nikmat-Nya.
Sabda Nabi Muhammad.s.a.w.;
"Dua perkara yang sesiapa dapat memperolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan bsabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar, iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yan g jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya".
(Riwayat At.Tirmizi)
Malangnya ramai yang mengamalkan hadis ini secara terbalik (songsang). Iaitu dalam hal dunia kita sering dipengaruhi oleh mereka yang lebih kaya dan berharta sehingga nafsu keduniaan meningkat dan kelabu dari segala hukum halal haram.
Dukacitanya dalam bab akhirat pula ada yang melihat orang yang lebih teruk darinya, lalu menganggap dirinya agak lebih baik. seperti katanya; " Ala orang lain ada yang tidak solat langsung, aku "at least" solat la jugak walaupun tidak penuh lima waktu".
PALING ALIM.
Selain dari itu ada yang terdetik;
" Akulah antara yang teralim dan paling mendalam"
Tidak kiralah sama ada dalam kajian Hadis, Fiqh, kewangan dan lain-lain. Sedangkan perbuatan itu telah terleka dari Firman Allah yang bermaksud;
" dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi yang lebih mengetahui"
Surah Yusuf (76)
#############
"Allah Maha Mengetahui"
Sekian.wassalam.
dari : Lee Noh
No comments:
Post a Comment